dc.description.abstract | Kajian ini bertujuan untuk melihat kesan kurikulum pelajaran ugama terhadap
pembangunan sahsiah pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Islam Negara Brunei
Darussalam. Kajian ini menggunakan kaedah kualitatif dan kuantitatif bagi
memudahkan pengkaji untuk melihat kesan kurikulum tersebut terhadap
pembangunan sahsiah pelajar IPT Islam. Manakala instrumen kajian yang digunakan
oleh pengkaji adalah soal selidik, temubual, dokumentasi dan pemerhatian.
Persampelan kajian ini melibatkan seramai 348 responden yang dipilih daripada IPT
Islam di Negara Brunei Darussalam. Data kajian diperolehi melalui soal selidik yang
dianalisis menggunakan program Statistical Package for the Social Sciences (SPSS).
Statistik deskriptif seperti frekuensi, peratusan, min, ujian t dan correlation coefficient
digunakan bagi menerangkan latar belakang responden dan persepsi pelajar tentang
kesan kurikulum pelajaran ugama terhadap pembangunan sahsiah pelajar. Instrumen
kajian telah menunjukkan nilai kebolehpercayaan Alpha Cronbach bagi item soal
selidik adalah tinggi (>0.9). Hasil dapatan kajian menunjukkan kesan kurikulum
pelajaran ugama terhadap pembangunan sahsiah pelajar menunjukkan skor min pada
tahap sederhana tinggi iaitu min=3.96, sisihan piawai=.577. Manakala kesan daripada
aspek pemerhatian dalam pembangunan sahsiah pelajar (min=4.19); kesan daripada
aspek mujahadah (perjuangan) dalam pembangunan sahsiah pelajar (min=4.07); kesan
daripada aspek pergaulan dalam pembangunan sahsiah pelajar (min=3.96); kesan
daripada aspek muhasabah (memperbaiki diri) dalam pembangunan sahsiah pelajar
(min=3.83) dan kesan daripada aspek riyadah (latihan) dalam pembangunan sahsiah
pelajar (min=3.76). Hasil dapatan ujian-t, menunjukkan terdapatnya perbezaan
daripada kesan-kesan aspek pemerhatian, aspek mujahadah (perjuangan), aspek
pergaulan, aspek muhasabah (memperbaiki diri) dan aspek riyadah (latihan) antara
jantina. Dari aspek korelasi pula, terdapat hubungan antara kesan aspek mujahadah
(perjuangan) dengan kesan aspek riyadah (latihan) terhadap pembangunan sahsiah
pelajar yang tinggi (r=0.742). Hasil dapatan temubual dan pemerhatian mendapati
sebahagian pelajar masih kurang mengamalkan sebahagian isi kandungan pelajaran
ugama dengan baik seperti membaca al-Quran, mengerjakan solat diawal waktu,
berkenalan dengan jiran dan sebagai dalam mendidik diri dan jiwa mereka ke arah
sahsiah pelajar yang baik. Walau bagaimanapun, ada pelajar yang menghayati isi
kandungan kurikulum pelajaran dengan baik sehingga menjadikan mereka insan yang
berguna pada diri, keluarga, masyarakat dan negara. Berdasarkan dapatan kajian,
beberapa cadangan telah dikemukakan kepada guru selaku pelaksana kurikulum
pelajaran ugama dan pelajar selaku penerima dan pengamal isi kandungan kurikulum.
Seterusnya, kajian ini turut menyumbang kepada bidang ilmu kerana metodologinya
berbentuk kuantitatif, berbeza dengan kebanyakan kajian sebelum ini yang dilakukan
secara kualitatif serta menghasilkan satu instrumen soal selidik untuk kajian
selanjutnya. | en_US |