Penterjemahan Dan Pentafsiran Al-Qur'an Di Negara Brunei Darussalam: Pengenalan Dan Pencerakinan Metodologi Mushaf Brunei Darussalam Dan Terjemahannya
Abstract
Corak kepimpinan dan pemerintahan Negara Brunei Darussalam yang berlunaskan falsafah Melayu Islam Beraja (MIB) amat mengambil berat dan prihatin terhadap pendidikan agama Islam, lebih-lebih lagi pengajian al-Qur'an. Keprihatinanan ini dizahirkan menerusi pelbagai medium dan cara. Antaranya ialah penerbitan "Mushaf Brunei Darussalam dan Terjemahannya" . Penerbitan terjemahan al-Quran versi Brunei ini bermula pada tahun 2010 secara berperingkat dan siap sepenuhnya pada tahun 2012, terdiri dari 10 jilid kecil. Fokus kajian lebih terarah kepada mengenalkan Mushaf Brunei Darussalam dan Terjemahannya dan seterusnya mencerakin metodologi penulisannya. Analisis dan huraian ini bukan bermaksud untuk menimbulkan persoalan, kesalahan dan kritikan, bahkan sebaliknya berhasrat untuk mengenalkan kewujudannya di persada bidang pengajian al-Qur'an , khasnya di luar Brunei. Selanjutnya akan dapat memperbaiki kelemahan yang ada dan menambah apa yang perlu. Jesteru, harapan tinggi dipanjatkan agar usaha murni sebegini dapat berterusan dengan sirna kejayaan yang lebih cemerlang, demi menyanjung tinggi martabat al-Qur'an di bumi Darussalam.