Berdusta "Terhadap" Nabi Atau "Untuk" Nabi: Kedua-Keduanya Jenayah Satu Rumpun
Abstract
Dalam era globalisasi ini ketika Islam berdepan dengan fonomena Islamophobia, tidak ketinggalan yang menerima kecaman hebat ialah sunnah baginda Nabi sallallahu 'alaihi wassalam. Sebagai sumber Islam yang menjadi dasar kepada kelangsungan ummah, Sunnah menerima badai cabaran yang tidak pernah lekang sejak sekian lama, hanya saja teknik dan senario berbeza dari semasa ke semasa. Golongan musuh Islam daripada pihak yang sangat radikal seperti Goldzheir dan Schacht sememangnya merupakan golongan Orientasil yang sangat tegar mengecam sunah baginda Nabi Sallallahu 'alaihi wasalam. Di samping itu, golongan yang amat menonjol menghalalkan tikaman beracun daripada kalangan 'orang dalam' ialah golongan anti hadith dan Quranis. Tidak ketinggalan dendam kesumat golongan yang disebutkan tadi direalisasikan pula oleh umat Islam sendiri yang berpegang kepada prinsip "berdusta untuk atau kerana Rasulullah". Sekalipun 'jenayah' ini pada zahirnya nampak tiada unsur kejahatan, namun ia adalah umpama baram dalam sekam yang akan menjadi pemusnah dalam diam. Oleh yang demikian, kertas ini akan mengfokuskan kepada beberapa faktor yang telah dikenalpasti oleh para muhaddithin terdahalu dan semasa mengenai beberapa sebab yang menjadi punca kepada terbitnya 'jenayah' ini. Jenayah yang dimaksudkan disini ialah hadith rekaan yang disandarkan kepada baginda Nabi sallallahu 'alaihi wasallam. Objektif kertas ini adalah untuk memberikan pengenalan kepada bahayanya 'bencana' pendustaan terhadap baginda Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam. Ini kerana andai sumber Islam ini dipandangg rendah lantas Islam juga tidak akan dipandang tinggi. Kertas ini diharapkan akan dapaty menjadi wadah kepada pembaca khususnya golongan awam akan peri pentingnya menghormati nilai keilmuan dalam praktis agama yang benar lagi sahih.