Kepimpinan Dakwah Menerusi Teladan: Suatu Sorotan Terhadap Sahsiah Rasulullah (S.A.W)
Abstract
Kertas kerja ini merupakan satu kajian terhadap kepimpinan melalui teladan dan perspektif Islam secara umum yang kemudiannya dikaitkan dengan kepimpinan dakwah melalui teladan yang dilandaskan kepada sahsiah Rasulullah (s.a.w) dalam percubaan untuk meneliti dan menggariskan sifat-sifat pendakwah yang berkualiti. Kajian dilakukan dengan meneliti sejarah perjalanan kepimpinan dakwah Rasulullah (s.a.w) sebagai seorang pemimpin ulung dan pendakwah Islam yang pertama. Nabi Muhammad (s.a.w) bukan hanya bertugas menyampaikan risalah dari Allah (s.w.t) sebagai pendakwah tetapi Baginda (s.a.w) juga menjadi ketua atau pemimpin dalam membangun ummah dan menjadi role model bagi setiap manusia. Kajian ini dianggap penting kerana golongan sasar dakwah secara umumnya menjadikan perlakuan dakwah sebagai asas penerimaan terhadap ajaran dakwah yang disampaikan oleh mereka. Realiti dakwah era globalisasi menyaksikan segelintir pendakwah masih berada pada tahap teori semata-mata tanpa menjejakkan kakinya ke alam realiti dalam melaksanakan konsep dakwah menerusi teladan. Kertas kerja ini bertujuan mengkaji konsep kepimpinan dari perspektif Islam, mengkaji kepimpinan dakwah menerusi konsep teladan yang dikoreksi daripada sirah Rasulullah (s.a.w). Kajian ini dilakukan menggunakan metode kajian kepustakaan dengan meneliti rujukan-rujukan dalam bidang terbabit, terutamanya al-Quran, hadis dan sumber kitab ulama muktabar. Data-data yang dikutip dianalisis agar memenuhi tujuan kertas kerja ini ditulis. Secara umum, kertas ini mendapati bahawa kepimpinan melalui teladan yang ditunjukkan oleh Rasulullah (s.a.w) adalah sesuatu yang amat penting diaplikasikan oleh semua pemimpin umat Islam pada setiap tahap, termasuklah pendakwah yang merupakan orang yang mengendalikan kepimpinan dan pengerusan dakwah. Demi mencapai matlamat dakwah, slogan kepimpinan dakwah melalui teladan amat wajar diperkukuhkan dalam institusi dakwah yang memimpin dan menguruskan dakwah.