Islam Sebagai Teras Pengukuhan Pembinaan Peradaban Melayu
Abstract
Kemunculan Islam di Alam Melayu pada tahun 700M telah diterima oleh majoriti komuniti Melayu, Keserasian nilai keislaman dengan nilai kemelayuan telah mengukuhkan pertautan di antara kedua-duanya yang seterusnya meresap ke dalam susur galur sistem adat iaitu norma sosial Melayu. Hasil penerapan nilai keadilan, persamaan dan kesejahteraan dalam kehidupan bermasyarakat, telah membawa kepada pengislaman Melayu dan pengisian hatinya dengan kehendak Islam, sebagaimana ungkapan yang berbunyi, 'Adat bersendikan Syarak, Syarak bersendikan Kitabullah'. Kesannya, pendominasian nilai keislaman terpancar dalam unsur bahasa, pendidikan, budaya, politik dan perundangan sehinggakan seluruh komuniti Melayu dilihat sebagai beragama Islam. Resapan Islam ke dalam sistem adat telah menaikkan tarafnya yang bukan sekadar adat resam yang melibatkan aturan hubungan sesama manusia ataupun dengan persekitaran semata-mata, tetapi mempertautkan pertalian dengan Pencipta, Allah SWT. Kekuatan Islam menguasai jiwa Melayu menyebabkan lahirnya tokoh-tokoh Melayu yang berjiwa Islam seperti Tuk Janggut, Datuk Bahaman dan Abdul Rahman Limbung, yang bangkit mempertahankan Islam dan tanah airnya dari ancaman British. Justeru, penulisan ini akan membuktikan pengaruh dan kekuatan nilai keislaman dalam peradaban Melayu, terutamanya di Tanah Melayu.